Saturday, November 23, 2013

~KERANA HUJAN DAN PELANGI SENTIASA BERSAMA BERPISAH TIADA~


 Hari ini bumi basah lagi
Dan aku mengeluh juga
Bila air ini mahu berhenti mengalir?
Bila mau kering awan ini melimpahkan cecair
Aku pandang ke timur dan utara
Kelam....
Aku bertanya pada diri mengapa perlunya hujan
Jika matahari mampu memberikan sinar bahagia?
Mataku terpandang sepohon pokok melambai-lambai
Bagaikan bahagia ditimpa hujan
Katak hijau menyanyi  riang memberi suasana pada alam
Mereka bagaikan berirama menyatakan suka
Bagaikan ada suara halus membisik di jiwaku
Hujan turun bukan untuk menyusahkan hamba
Tetapi kerana Rabbi tahu keperluan padannya
Aku tersenyum, dan tiba-tiba titisan itu mula berhenti
Dan diufuk jingga punya warna yang menenang jiwa
Hadiah buat mereka yang sabar menanti hujan reda.
Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-oreang yang sabar (Al-Baqarah :155)

Hidup ini bagaikan hujan dan pelangi.  Akan ada ujian yang menduga jiwa. Membasahkan diri dengan air mata duka. Namun musibah yang tercipta bukan kerana diri ini dibenci Rabbi, namun kerana diri ini adalah mutiara indah yang sedang digilap Illahi
Sesungguhnya Yang Maha Mencipta itu tidak zalim buat hamba-hambanya. Tidak membebani setanding yang termampu diri. Buktinya ujian kita semua berbeza. Ada yang diuji dengan kemewahan. Ada pula yang diuji dengan kemiskinan. Ada yang teruji dengan kebahaagian ada pula yang teruji dengan kedukaan.
Kerana Dia tahu apa yang diperlukan hamba. Tanpa ragu kita diduga. Pandanglah dengan mata yang bercahaya. Setiap yang terjadi punya hikmah yang tersembunyi. Setiap air mata yang mengalir akan punya pelangi sebagai hadiah diesok hari.
Setiap apa yang terjadi hari ini adalah bekalan buat kemudian hari. Jangan pernah lelah menjalani hidup sehari-hari. Jangan pernah membenci ujian yang Tuhan beri kerana kita hamba yang selayaknya diuji. Jika tangisan hari ini bukti kita mengimani kekuasaan Maha Pemberi rezeki redhakanlah hati. Kerana keimanan ini akan menjadi saksi dihari pembalasan nanti.
Jika kesedihan ini mampu membuatkan diri ini bertatih menuju Tuhan  jangan dikeluhkan. Sabar atas cubaan. Tabah atas dugaan. Kerana setiap yang terjadi tidak pernah sia-sia dimata Ya Rabbul Izzati.  Sesungguhnya aku hidup hari ini hanyalah demi Tuhanku.
~Jika hujan berterusan aku hanya perlukan payung untuk terus berjalan. Bukan mengeluh kesah menyalahkan awan. Tiba masanya matahari membentang itu tanda aku berjaya berjuang. Berjuang meyakinkan diri bahawa setiap kesususahan ada kesenangan dan setiap kesabaran akan ada balasan. Dan aku tenang~
Apakah kamu mengira kamu bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepada kamu cubaan seperti yang dialami orang-orang terdahulu dari kamu.  (Al-Baqarah :214)
~Bersangka baik pada Tuhan kerana Dia mengikut persangkaan hamba~

~Berbahagialah dalam ujian Tuhanmu~

aku.hidup.untuk.berbakti......

Diam aku bukan kerana bisu.
Diam aku hanya kerana aku buntu
Bising aku bukan kerana mengadu
Bising aku hanya kerana ingin membantu

Aku bercakap bila perlu
Diam pula sememangnya selalu
Bukanlah kerana aku tak pandai merapu
Kadang-kadang aku selesa begitu

Aku selalu menjadi tempat dihubungi
Untuk mencurah itu dan ini
Telinga dibuka untuk menyantuni
Minda dikerah mencari solusi

Tidaklah aku marah dijadikan sebegini
Dicari waktu menagis seisi
Hilang bayang bila gembira menghiasi
Namun ada ketika hati rasa disakiti

Inilah dia adat duniawi
Namun aku hidup untuk berbakti
Tak perlu aku terus menyesali
Kerana akan ada imbuhan buatku disisi Rabbi



~kerana Dia Yang Maha Mencipta~


Kerana DIA Yang Maha Mencipta

Aku berdiri tegak menghadap kiblat
Tangan ku angkat
Bagaikan ini cara untuk ku bercakap
Tanpa perlu aku mohon izin
DIA telah menjawab
Aku berbicara denganNYA
Tanpa perlu alat
Yang perlu hanya ruku dan sujud
Ketika dahi mencecah sejadah
Segalanya ku luah
DIA mendengar segala yang ku katakan
DIA memahami segala butir yang ku lontarkan
Kerana DIA pencipta aku
Yang faham segalanya tentang aku
Benarlah ketika aku menghampiriNYA satu langkah
DIA menghampiriku sepuluh langkah
Ketika aku merasakan tiada tempat untuk bergantung
SeseungguhNYA kepada DIA lah sebaik-baik tempat pergantungan
Ketika aku merasakan tiada sesiapa di sisi
Sesungguhnya DIA lebih dekat dari urat leher ku sendiri.
Sesungguhnya DIA lah Tuhan yang punya kekuasaan dan kehebatan
Tuhan yang penuh kerahmatan dan kasih sayang
Allah Rabbul Izzati..

Dan apabila hamba-hambaKU bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKU. Hendaklah mereka memenuhi perintahKU dan beriman kepadaKU agar mereka memperoleh kebenaran. (Al-Baqarah:186)

Demi Tuhan yang menjadikan langit dan bumi dengan penuh kesempurnaan. Demi Tuhan yang penuh kerahmatan yang memberikan hambaMu kasih sayang. Demi Tuhan tiada pengagungan melainkan Engkau.

Allah Tuhan sekalian alam telah menciptakan kita, hambaNya dengan penuh kasih sayang. Memberikan kita kerahmatan setiap pagi dan petang.Yang memberikan kasih dan sayang melebihi semesta alam. Itulah Tuhan yang punya nama Rahman
.
Begitu pemurah dan penyayangnya Tuhan pabila DIA memberikan kita kesenangan tanpa meminta imbalan. Setiap yang diperintah dan diarah hanya untuk kita. Buat kebaikan kita. Diharamkan arak kerana arak mampu mengorbankan jiwa. Diharamkan zina kerana mampu menghancurkan keluarga.
Dihalalkan perkahwinan untuk memberikan bahagia dan melengkapkan separuh jiwa. Disuruh sedekah kerana ianya punya hikmah. Ini hanya sebahagian.  Nah begitu cantik bukan arahan dan larangan Tuhan. Jadi mengapa perlunya  merasa terbeban?

Sesungguhnya DIA pencipta kita. Yang Maha tahu apa yang diperlukan hambanya. Hambanya perlukan makanan diberikan berbagai-bagai haiwan laut dan daratan buat bekalan. Hambanya perlukan ketenangan, dikurniakan solat sebagai ubat penenang. Hambanya perlukan manual untuk memandu hidup dan diturunkan AL-Quran .

Ini hanyalah sebahagian tanda kasih dan rahmat Tuhan. Bukalah matamu. Lihat betapa kasih dan sayang Tuhan itu sentiasa memenuhi ruang. Tanpa kasih itu kita mati hari ini kerana hilangnya udara. Udara ini tiada wang yang dijadikan bayaran. Yang diperlukan hanya ketaatan pada Tuhan. 
Masih tidak terlewat untuk menjadi orang yang bersyukur. Selagi mana jasad dan nyawa masih bersama.

Karena itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (ni’mat)-Ku. (Al-Baqarah: 152)
Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah. (Al Baqarah:172)